Thursday, 6 October 2022

Lawatan Penanda Arasan SK Setia Alam dan SK Methodist Pelabuhan Klang ke SKTPP

Tarikh   : 6 Oktober 2022

Hari       : Khamis

Masa     : 8.30 pagi

Tempat : Terminal Muafakat, Ujana Ilmu, Bilik Sumber PPDa, Bilik Operasi SPBT Sekolah (SPBT), Musalla Raudatul Ilmi dan Bilik Bitara Kriket


Pada 6 Oktober 2022 (KhamiS), SK Taman Putra Perdana telah menerima kunjungan mesra daripada dua buah sekolah iaitu SK Setia Alam dan SK Methodist Pelabuhan Klang ke sekolah ini yang mana kedua-dua sekolah tersebut dalam sesi lawatan penanda arasan bagi berkongsi idea dan percambahan buah fikiran yang dapat dikongsi bersama dalam memajukan dan membangunkan lagi prestasi dan keperluan di sekolah masing-masing. Keterlibatan barisan guru daripada kedua-dua buah sekolah ini adalah seramai 25 orang yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Di antara objektif lawatan ini adalah:

  • Berkongsi idea dan kepakaran dengan menggabungjalin kejayaan SK Taman Putra Perdana agar dapat diolah dan disesuaikan untuk kecemerlangan murid.
  • Merancang dan menyelaras program-program sekolah agar potensi murid dapat ditingkatkan dengan perancangan yang lebih bersesuaian.
  • Memurni budaya kerja cemerlang dalam kalangan guru-guru agar dapat memacu kecemerlangan murid dengan cara yang bersesuaian dengan minat dan keperluan mereka.

Kedua-dua delegasi kepimpinan daripada kedua-dua buah sekolah tiba di SK Taman Putra Perdana pada jam 8.30 pagi dan telah disambut oleh Puan Hajah Rohaidah binti Mohd Ali selaku guru besar serta kesemua barisan pentadbir sekolah. Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) iaitu Tuan Haji Khairul Azhar bin Muhammad Suffian turut sama menyambut ketibaan ahli rombongan. Seterusnya kesemua tetamu telah dibawa ke Dataran Perhimpunan SKTPP untuk sesi fotografi sebagai kenang-kenangan yang akan diingati dalam lipatan sejarah sekolah.

Gambar-gambar semasa ketibaan pelawat di SK Taman Putra Perdana: 






Sebaik sahaja sesi fotografi selesai, para pelawat telah dibawa ke Terminal Muafakat untuk agenda seterusnya. Mereka telah dijamu dengan santapan makanan seadanya.

Gambar-gambar semasa semua pelawat sedang menikmati jamuan yang telah disediakan:






Kini, tibalah masa kepada agenda utama lawatan penanda arasan ini iaitu sesi perkongsian dan kolaborasi antara ketiga-tiga sekolah yang terlibat. Ustaz Syed Farhan Hanafi bin Syed Abdullah selaku pengerusi majlis telah memberikan kata-kata aluan sebagai pembuka bicara serta mengalu-alukan kedatangan semua tetamu yang diraikan ke SKTPP.



Bagi memberkati majlis, Ustaz Mohd Ishak Shairazi bin Mohd Sauzi telah membacakan doa memohon restu dan redha Ilahi supaya segala perancangan majlis dipermudah serta mendapat keberkatan daripada ALLAH S.W.T.


Bagi memulakan majlis, Puan Hajah Rohaidah binti Mohd Ali selaku Guru Besar SK Taman Putra Perdana telah menyampaikan ucapannya. Beliau memberikan penghargaan kepada semua barisan pentadbir dan PIBG yang turut sama hadir memeriahkan majlis serta mengalu-alukan kedatangan semua delegasi guru yang turut serta dalam lawatan penanda arasan ini. Bukan itu sahaja, beliau turut sama berkongsi kejayaan-kejayaan yang telah dikecapi oleh SK Taman Putra Perdana bermula dari tahun 2014 sehingga kini. Secara tidak langsung, kejayaan yang telah dikecapi merupakan kebitaraan sekolah.




Majlis diteruskan lagi dengan ucapan Tuan Haji Khairul Azhar bin Muhammad Suffian yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seterusnya mewakili ibu bapa pelajar di sekolah ini. Beliau mengucapkan selamat datang kepada semua ahli delegasi yang hadir serta mengucapkan terima kasih kerana memilih SK Taman Putra Perdana sebagai jaringan yang dibentuk bagi berkongsi pengalaman dan pengetahuan. Sebagai pucuk pimpinan dalam organisasi PIBG, beliau telah berkongsikan peranan dan tanggungjawab organisasi PIBG dalam membantu kelancaran pengurusan program sekolah juga sebagai saluran yang menghubungkan ibu bapa dan guru di sekolah.


Tidak lengkap kiranya tidak mendengar kalam bicara dua orang tonggak pimpinan daripada kedua-dua sekolah yang diraikan. Pertama, ucapan Tuan Haji Dr. Ahmad Fuadi bin Sarham selaku Guru Besar SK Methodist Pelabuhan Klang. Beliau merupakan bekas Guru Penolong Kanan Pentadbiran & Kurikulum di sekolah ini sebelum khidmatnya diperlukan di sekolah tersebut. Kerjasama yang pernah terjalin sebelum ini menjadi penyumbang utama serta pengalaman yang dimiliki dalam menyambung kecemerlangan pendidikan murid di sekolah tersebut. Beliau turut sama berkongsi pahit getir serta perjuangannya di sekolah yang baru serta usahanya dalam mencapai kejayaan yang membanggakan.


Tn. Hj. Dr. Ahmad Fuadi bin Sarham : GB SK Methodist, Pelabuhan Klang

Encik Mohamad Fadzli bin Abdul Rahman pula merupakan Guru Besar SK Setia Alam yang tidak kurang hebatnya. Beliau juga tidak lokek berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki bersama semua yang hadir. Walaupun masih lagi baru menyandang jawatan sebagai guru besar di sekolah tersebut, namun bakat serta kredibiliti sebagai seorang ketua cukup terserlah ditambah pula dengan keupayaan dan kehebatan yang turut dikongsi bersama guru-guru di bawah pimpinannya yang juga membawa kepada kemajuan dan kecemerlangan sekolah umumnya serta murid secara khususnya.

En. Mohamad Fadzli bin Abdul Rahman : GB SK Setia Alam

Sebaik sahaja selesai ucapan daripada kesemua barisan guru besar, majlis diteruskan dengan persembahan video hasil idea kreatif daripada Encik Wan Faizol bin Wan Mat yang mana video tersebut memaparkan barisan kepimpinan SK Taman Putra Perdana, kemudahan dan bilik-bilik khas yang terdapat di sekolah serta kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh murid dan sekolah secara keseluruhan. Video berdurasi hampir 30 minit ini juga merupakan tayangan montaj yang telah digunakan semasa Penilaian Anugerah Pengurusan Pusat Sumber Sekolah Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2019  yang memberikan pencapaian Tempat Keempat. Ianya merupakan kejayaan yang sangat membanggakan yang pastinya membawa kenangan dan pengalaman yang besar kepada semua warga sekolah untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.


Sesi menandatangani sijil jaringan menjadi bukti termetrainya jaringan dan kerjasama antara ketiga-tiga sekolah ini. Sesi ini dimulakan dahulu dengan SK Methodist Pelabuhan Klang dan diikuti pula dengan SK Setia Alam. Sesi penyerahan sijil jaringan dan penyampaian cenderamata sebagai kenang-kenangan turut dijalankan semasa sesi ini. Dengan selesainya penyerahan sijil jaringan dan cenderamata ini maka berakhirlah sesi perkongsian rasmi di dalam Terminal Muafakat.

Gambar-gambar semasa sesi menandatangani sijil jaringan antara SK Taman Putra Perdana bersama dengan SK Methodist Pelabuhan Klang dan SK Setia Alam serta penyampaian cenderahati antara ketiga-tiga sekolah yang terlibat:












Tidak berakhir di situ, kesemua delegasi kepimpinan ini dibawa melawat ke bilik-bilik khas yang terdapat di sekolah ini, antaranya ialah:

  • Pusat Sumber (Ujana Ilmu)
  • Surau (Musalla Raudatul Ilmi)
  • Bilik Operasi SPBT Sekolah (BOSS)
  • Bilik Sumber PPDa
  • Bilik Bitara kriket

Pusat Sumber (Ujana Ilmu)

Guru Perpustakaan dan Media (GPM), Puan Arnny Yusnita binti Md. Enarji telah menunjukkan ruang-ruang yang ada di dalam Ujana Ilmu. Beliau berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang ada sepanjang mengurus serta mengemudi Ujana Ilmu sehinggalah sekarang. Beliau tidak lokek berkongsi apa yang ada di Ujana Ilmu yang mana input dan idea yang dikongsi boleh digunakan di sekolah yang terlibat. 
Gambar-gambar suasana semasa sesi lawatan ke Pusat Sumber Sekolah (Ujana Ilmu):







Surau (Musalla Raudatul Ilmi)
Penyelaras Musalla Raudatul Ilmi, Puan Noorayuni binti Ab. Fatah menyambut ketibaan tetamu di pintu masuk musalla yang turut merangkumi taman dihadapannya.
Gambar-gambar suasana semasa sesi lawatan ke Musalla Raudatul Ilmi:






Bilik Operasi SPBT Sekolah (BOSS)
Penyelaras Bilik Operasi SPBT Sekolah (BOSS) iaitu Puan Jamilah binti Mohd Yusof setia menanti ketibaan tetamu yang diraikan. Bilik khas ini baru sahaja memenangi Tempat Ketiga dalam Anugerah Pengurusan SPBT Cemerlang Peringkat Negeri Selangor.
Gambar-gambar suasana semasa sesi lawatan ke Bilik Operasi SPBT Sekolah (BOSS):







Bilik Sumber PPDa
Guru Bimbingan dan Kaunseling, Puan Juli binti Mahbah bersama dengan Duta Kecil yang terdiri daripada murid Tahun 5 dan Tahun 6 menyambut ketibaan tetamu di pintu masuk bilik. Mereka teruja melihat bilik tersebut yang penuh dengan bahan-bahan pameran dan sudut informasi yang sangat berguna dalam membentuk peribadi murid yang terhindar daripada melakukan perkara-perkara negatif.
Gambar-gambar suasana semasa sesi lawatan ke Bilik Sumber PPDa:







Bilik Bitara Kriket
Di dalam Bilik Bitara Kriket, jurulatih kriket, Encik Ahmad Junaidi bin Abdullah telah berkongsi pengalamannya membina sebuah pasukan kriket bermula daripada bawah sehinggalah mencapai kejayaan yang sangat membanggakan bukan sahaja di peringkat sekolah malahan ke peringkat kebangsaan. Beliau yang sangat bersemangat dan bercita-cita tinggi turut sama berkongsi antara kekuatan yang perlu ada dalam membina sebuah pasukan yang hebat.
Gambar-gambar suasana semasa sesi lawatan ke Bilik Bitara Kriket:





Sebagai tambahan, semua pelawat dibawa ke Prasekolah dan Bilik Kokurikulum. Selesai sahaja semua tetamu melawat ke bilik-bilik khas, maka berakhirlah sesi lawatan penanda arasan SK Methodist Pelabuhan Klang dan SK Setia Alam ke SK Taman Putra Perdana. Diharapkan lawatan ini dapat memberikan banyak input dan perkongsian yang membina kepada semua pihak yang terlibat yang mana segala perkongsian boleh diaplikasikan mengikut kesesuaian sekolah masing-masing. Mudah-mudahan perkongsian ini dapat memberi inspirasi & semangat kepada warga sekolah bagi meningkatkan kecemerlangan sekolah ke tahap yang lebih tinggi dan terbaik
Gambar-gambar suasana semasa sesi lawatan ke Prasekolah dan Bilik Kokurikulum:




Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada semua barisan pentadbir, guru-guru dan jawatankuasa pelaksana bagi ketiga-tiga sekolah yang telah menjayakan lawatan ini secara langsung mahupun tidak langsung. Sesungguhnya, segala pengorbanan dan kerjasama yang diberikan akan membentuk satu kesefahaman yang padu dalam mencapai objektif dan matlamat melahirkan kemenjadian murid yang terpuji. Semoga usahasama ini akan dapat dilanjutkan lagi pada masa akan datang. Guru Besar bagi kedua-dua buah sekolah sempat mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas layanan dan masa yang diberikan kepada mereka dan mengharapkan agar ada lagi kolaborasi bersama pada masa depan. Mereka juga memohon maaf sekiranya terdapat khilaf dan salah sepanjang berada di SKTPP. In Syaa Allah kita akan bertemu lagi nanti. Mereka meninggalkan SKTPP pada jam 1.00 petang. Walaupun mereka tidak berada lama di sini, namun kenangan dan ingatan akan tetap terpahat selamanya.

Bunga dedap di atas para,

Anak dusun pasang pelita,

Kalau tersilap tutur bicara,

Jemari disusun maaf dipinta.

Hati gembira bersama teman,

Bergembira ria di bawah jambatan,

Seandainya kita diizin Tuhan,

Tentu bersua di hari kemudian.


TERIMA KASIH SK METHODIST PELABUHAN KLANG 

SK SETIA ALAM


Disediakan oleh :

Syahirah Tumar

Wednesday, 11 May 2022

Perasmian Bilik Operasi Skim Pinjaman Buku Teks SKTPP

 Bilik Operasi SPBT (BOSS) SK Taman Putra Perdana sebenarnya telah lama wujud sejak pembukaan sekolah ini pada tahun 2004. Tetapi peranan bilik operasi ini pada ketika itu hanyalah sebagai Stor Simpanan Buku Teks yang tidak mempunyai spesifikasi yang khusus. Oleh itu, bermula tahun 2020 pihak sekolah telah memulakan langkah dalam menambah baik bilik ini mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Hal ini sebagai suatu usaha memesrakan peranan bilik operasi ini dengan sistem yang lebih cekap, bilik yang kondusif dan mesra pengguna.

Ahamdulillah, setelah 2 tahun bertungkus lumus akhirnya hari ini telah berlangsung perasmian Bilik Operasi SPBT dengan wajah yang baharu. Bilik yang dahulunya seperti stor simpanan yang tidak teratur kini telah berubah sama sekali. Bilik ini telah dilengkapi dengan ruang-ruang khas yang sangat cantik dan teratur. Antara perubahan besar yang berlaku adalah wujudnya Kaunter Aktiviti Pengagihan dan Pemulangan Buku Teks, Ruang Rehat, kemudahan komputer dan alatan elektronik, Rak Simpanan Buku Teks yang tersusun, Ruang Kerja, Ruang Sudut Informasi dan Ruang Pelupusan.

Perasmian bilik ini telah disempurnakan oleh Encik Norazlan bin Ahmad Kanal, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sepang Bahagian Pembangunan Murid. Majlis ini juga dihadiri oleh Yang Dipertua PIBG, Tuan Haji Khairul Azhar bin Mohamed Suffian dan disaksikan oleh Guru Besar, Puan Rohaidah binti Mohd Ali serta semua barisan Guru Penolong Kanan SK Taman Putra Perdana. Sebelum menyempurnakan majlis ini, tetamu telah dibawa melawat Taman SPBT yang menempatkan arca buku.

Arca buku yang dibina adalah sebagai satu simbolik kepada ketinggian martabat Buku Teks sebagai suatu alat perkembangan ilmu di sekolah ini. Hal ini bersesuaian dengan cogan kata khusus bagi Bilik Operasi SPBT yang baharu iaitu "Buku Teks Persada Ilmu". Akhir sekali, semoga dengan pembaharuan bilik operasi ini dapat memastikan operasi pengagihan dan pemulangan buku teks di sekolah ini lebih sistematik, maju dan progresif.

Di bawah disertakan gambar-gambar sepanjang majlis berlangsung :

Arca buku simbolik cogan kata "Buku Teks Persada Ilmu".

Tetamu dibawa melawat ke Taman SPBT

Encik Norazlan bin Ahmad Kanal menulis nama pada Buku Lawatan di Kaunter Khas Operasi Pengagihan dan Pemulangan Buku Teks yang baharu.

Encik Norazlan mendengar penerangan oleh Cikgu Jamilah binti Mohd Yusof, Penyelaras SPBT.

Mengambil foto kenangan di ruang kerja yang baharu


Encik Norazlan menyempurnakan gimik perasmian sambil disaksikan oleh YDP PIBG, Tuan Haji Khairul Azhar bin Mohamad Suffian, Guru Besar; Puan Rohaidah binti Mohd Ali dan barisan Guru Penolong Kanan.


Aktiviti Sembang Santai bersama di ruang rehat yang baharu.

Sesi penggambaran beramai-ramai di hadapan Bilik Operasi Skim Pinjaman Buku Teks.

Thursday, 10 March 2022

Program Perkongsian Pintar ke Bilik Operasi SPBT Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Salak Tinggi Tahun 2022

9 Mac 2022 SK Taman Putra Perdana telah menganjurkan satu lawatan penanda arasan berbentuk perkongsian pintar ke SRAI Salak Tinggi, Sepang, Selangor. Lawatan ini bertujuan untuk membantu pihak SPBT SK Taman Putra Perdana untuk mendapatkan sedikit sebanyak maklumat berkaitan pengurusan BOSS serta sebagai persediaan sekolah dalam Pertandingan Pengurusan SPBT  Cemerlang Negeri Selangor. Selain itu, program ini juga diharapkan dapat meningkatkan pengetahuan dan pengalaman guru-guru dalam pengurusan SPBT serta mengadakan perbincangan dari segi akademik, pengurusan dan infrastruktur bagi tujuan penambahbaikan. Pengisian program ini termasuklah sesi bertukar-tukar fikiran, mewujudkan peluang bekerjasama  dan menjalinkan  hubungan baik di antara kedua-dua sekolah. 

Delegasi lawatan ini terdiri daripada guru seramai 10 orang yang diketuai oleh Datin Noraizah binti Dun, Penolong Kanan HEM SK Taman Putra Perdana. Semoga dengan lawatan ini, akan ada beberapa siri perbincangan susulan pada masa depan dalam misi memantapkan pengurusan bilik BOSS SK Taman Putra Perdana. 

Berikut merupakan gambar-gambar sekitar lawatan penanda arasan ini 











Terima kasih SRAI Salak Tinggi. Jasamu dikenang💐

Wednesday, 19 January 2022

Proses Mengecat Dinding dan Almari Simpanan Buku

Ahli Jawatankuasa Penaiktarafan bilik Skim Pinjaman Buku Teks bahagian fizikal telah berganding bahu menjalankan proses mengecat dinding dan almari simpanan buku teks bagi menaikkan lagi seri Bilik Operasi SPBT Sekolah (BOSS).

Semoga segala bakti mereka diganjari pahala oleh Allah.







Tuesday, 18 January 2022

Program "Cintailah Buku Teks Kita"

 Alhamdulillah pada 13 dan 17 Januari yang lalu, Unit Skim Pinjaman Buku Teks telah menjalankan program "Cintailah Buku Teks Kita". Program yang mensasarkan semua murid SK Taman Putra Perdana ini adalah suatu usaha bagi menjentik sifat bertanggungjawab murid untuk menjaga buku teks yang dipinjam dengan baik. Selain itu, program ini juga bertujuan memberi didikan cara penjagaan buku teks yang betul supaya kesempurnaan buku teks dapat dijaga walaupun diguna secara maksimum sepanjang tempoh pinjaman.

Program ini terbahagi kepada 3 peringkat iaitu dimulakan dengan sesi taklimat oleh Ketua Penyelaras Unit Skim Pinjaman Buku Teks iaitu Cikgu Jamilah binti Mohd Yusof. Taklimat ini berlangsung di Dewan Perdana dan disertai oleh semua murid dan guru. Taklimat ini dijalankan bertujuan memberi maklumat mengenai garis panduan penjagaan buku teks kepada seluruh warga sekolah.

Pada peringkat kedua pula, murid berada di dalam kelas masing-masing dan guru matapelajaran yang terlibat melakukan pemeriksaan ke atas buku teks murid kelas tersebut. Antara aspek penjagaan penting yang diperiksa oleh guru ialah balutan buku teks, penulisan nama pada buku teks dan susunan buku teks dalam beg sekolah murid. Guru-guru memberi teguran secara langsung terhadap setiap kesilapan penjagaan murid terhadap buku teks mereka.

Peringkat ketiga pula, murid yang didapati tidak mematuhi garis panduan penjagaan buku teks diarahkan untuk memperbetul kesilapan mereka. Pemeriksaan semula ke atas buku-buku teks mereka dijalankan berterusan oleh semua guru ketika sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

Di bawah disertakan gambar sepanjang program berlangsung :

Murid-murid mendengar taklimat yang disampaikan dengan tekun

Guru turut serta mendengar taklimat oleh Cikgu Jamilah binti Mohd Yusof


Guru membuat pemeriksaan ke atas buku teks murid



Guru memberi teguran kepada ketiakpatuhan murid kepada garis panduan penjagaan buku teks


Pemeriksaan dijalankan secara berterusan sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran



Akhir sekali, semoga matlamat program ini dapat dicapai dan setiap murid dapat mengamalkan garis panduan penjagaan buku teks yang telah disampaikan oleh guru-guru kepada mereka. Semoga setiap murid terdidik dengan kepertanggungjawaban dalam segala aspek sepanjang kehidupan mereka masa kini dan masa hadapan.

















Tuesday, 11 January 2022

Grafik Terbaru Carta Alir Proses Pengagihan dan Pemulangan Buku Teks

 Grafik Carta Alir ini akan diletakkan di dalam Bilik Operasi Skim Pinjaman Buku Teks sebagai rujukan yang menarik dan jelas untuk murid-murid.


Carta Alir Proses Pemulangan Buku Teks

Carta Alir Proses Pengagihan Buku Teks

Wednesday, 5 January 2022

Carta Organisasi Unit Skim Pinjaman Buku Teks 2022

Perpindahan dan pertukaran guru-guru Penolong Kanan pada tahun ini telah memberi kesan kepada pindaan Carta Organisasi Unit Skim Pinjaman Buku Teks. Di bawah adalah senarai terbaru Carta Organisasi Unit Skim Pinjaman Buku Teks :




Pengerusi :

Puan Hajah Rohaidah binti Mohd Ali ( Guru Besar )

Timbalan Pengerusi : 

Datin Noraizah binti Dun (Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid)

Naib Pengerusi 1 :

Puan Azizah binti Mokhlas ( Guru Penolong Kanan Kurikulum)

Naib Pengerusi 2 : 

Puan Fauziah binti Salehoddin ( Guru Penolong Kanan Kokurikulum)

Naib Pengerusi 3 :

Puan Norhamizah binti Hamzah ( Guru Penolong Kanan PPKI )

Naib Pengerusi 4 :

Puan Siti Raudah binti Hamid ( Guru Penolong Kanan Petang )

Setiausaha 1 : Puan Jamilah binti Mohd Yusof ( Penyelaras Aliran Perdana )

Setiausaha 2 : Puan Nurhayati binti Mohamed Nor (Penyelaras Aliran Khas )